Parklane Heights, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor

Blog ini memaparkan kisah suka duka, maklumat dan pelbagai perkara dan informasi berkaitan aktiviti penduduk secara langsung atau tidak dari kaca mata penulis.

Kuliah Dhuha di Madrasah As-Siddiqqin, BTP

>> Tuesday, January 31, 2012

Alhamdulillah, pada 29 Januari 2012 (hari Ahad) bersamaan dengan 5 Rabiul'Awal 1433, Madrasah As-Siddiqqin di Bandar Tasik Puteri telah menjemput selebriti terkenal TV Al-Hijrah iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Don melalui rancangan 30 Minit bersama Ustaz Don. Dek kerana beliau, maka madrasah yang biasanya sunyi sepi dipenuhi sehingga melimpah keluar akan penghuni BTP baik yang berumur hinggalah pada kanak-kanak. Begitulah hebatnya penangan ustaz muda dari pulau pinang ini.

Dengan loghat utaranya, beliau berkongsi ilmu dan pengetahuan berkaitan satu hadith yang cukup tinggi nilainya. Di sini, penulis ingin berkongsi dengan semua akan beberapa perkara yang sempat di ambil.

  • Memulakan majlis dengan mengajak muslimin dan muslimat bersama-sama membaca doa bagi menambahkan ilmu dan menerangkan hati. 
  • Memulakan tazkirah dengan membaca beberapa potongan ayat Al-Quran dari Surah An-Nahl yang mengajak umat ISLAM semua agar bertaqwa kepada Allah S.W.T. 
  • Berkongsi mengenai kalendar hijrah yang dilupai. Jika tahun lepas masyarakat sibuk untuk memilih 1 November 2011 sebagai tarikh untuk upacara tertentu (1.11.11), tetapi masyarakat lupa bahawa baru-baru ini tarikh ISLAM juga cukup cantik iaitu 3 RabiulAwal 1433 Hijrah (3.3.33). Alangkah alpanya kita. Dan mengingatkan para hadirin akan pentingnya bulan RabiulAwal ini. 
  • Mengajak umat ISLAM berselawat keatas Nabi Muhammad S.A.W kerana selawat yang diucap akan sampai kepada Rasul S.A.W (Dalil: "Sesungguhnya selawat yang kamu ucapkan akan sampai kepadaku" - Riwayat Abu Daud. Untuk dalil lain, sila rujuk sini). Yang pastinya ramai dari kita akan diam sahaja apabila terdengar nama Nabi disebut baik secara life mahupun di dalam TV atau radio. 
  • Menceritakan mengenai Jabir R.A sebelum memperihalkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.A. Menurutnya, Jabir R.A. dikenali didalam perang khandak dimana beliau menjemput Rasul S.A.W dan para sahabat menjamu selera dirumahnya dan Rasul S.A.W menjemput semua yang terlibat dalam proses menggali parit (Penggalian di cadangkan oleh Salman Al-Farisi) ketika itu kesana (sedangkan makanan dirumah Jabir hanya mampu dinikmati beberapa orang sahaja). Namun berkat mukjizat Rasul S.A.W, maka semua yang hadir dapat menjamu selera (sila rujuk buku karangan Dr Zulkifli Al Bakri bertajuk Hadith-hadith modal insan atau SuaraMedia, atau Blog Dr Burhanuddin untuk mengenali Jabir R.A dengan lebih lanjut) 
  • Hadith yang disampaikan oleh Jabir R.A - "Ketika Rasul S.A.W. naik ke mimbar, baginda mengucapkan amin pada 3 anak tangga mimbar. Sahabat bertanya untuk mengetahui sebab musabab tindakan baginda. Lalu baginda berkata ketika baginda S.A.W sedang naik ke atas mimbar, datang malaikat Jibrail A.S dan berkata Celakalah akan seseorang itu apabila ramadhan lalu tanpa mendapat keampunan Allah, dan baginda aminkan. Kemudian Jibrail A.S berkata lagi, Celakalah seseorang itu apabila ada kesempatan berbakti pada orang tuanya diabaikan, dan baginda aminkan. Dan berdoa lagi Jibrail A.S, Celakalah seseorang itu apabila diucapkan nama mu Ya Muhammad S.A.W dia berdiam diri, dan baginda aminkan." (Hadits Riwayat Ibnu Khuzaimah 3/192 dan Ahmad 2/246 dan 254 dan Al-Baihaqi 4/204. Juga dalam Shahih Muslim 4/1978. Untuk lebih lanjut berkenaan hadith tersebut, rujuk Fadhailu Syahri Ramadhanhal.25-34 karya Ibnu Syahin
  • Dalam mengaitkan akan hadith tersebut, Ustaz Don juga menceritakan akan perihal sikap para sahabat yang bersifat ingin tahu dan belajar untuk lebih memahami dan mengamalkan ajaran Rasul S.A.W. Beliau juga melahirkan kekecewaan akan masyarakat kini yang belajar untuk menolak (contoh: memakai kopiah atau serban dianggap tidak perlu kerana sunnah sedangkan para sahabat memakainya kerana sunnah). Untuk perkara ini, Ustaz Don memetik kata-kata dari beberapa tokoh ISLAM terkenal. Yang pertama ialah dari Mufti India (Ahmad Syeikh Ibrahim Bernat) didalam kitabnya bertajuk 'Insan Teladan' telah menulis di muka surat hadapan yang merujuk kepada perbuatan mempelajari hadith adalah bertujuan meningkatkan amal soleh dan bukan menunjuk atau digunakan untuk kepentingan diri. Yang kedua, Ustaz Don memetik kata-kata dari Imam Al-Ghazali yang membawa maksud bahawa ilmu itu dikira bermanfaat apabila digunakan didalam amalan, tetapi dikira sia-sia apabila ia tidak diamalkan. 
  • Berkaitan masyarakat sekarang yang belajar sunnah/hadith untuk tinggalkan yang tidak wajib, Ustaz Don sekali lagi berkongsi satu riwayat hadith berkaitan dengan perbuatan Nabi S.A.W yang menjadi ikutan dan berlaku pada musim panas yang di tulis oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya al-Madkhal li-Dirasati as-Sunnah an-Nabawiyyah. Menurut tulisan Dr Yusof Al-Qaradhawi, di kalangan sahabat terdapat mereka yang mengikuti Nabi s.a.w. dalam segala perbuatannya sekalipun tidak nampak pada perbuatan tersebut bentuk qurbah (tujuan mendekatkan diri kepada Allah), semata-mata kerana sempurnanya kasih-sayang mereka kepada baginda dan keinginan yang bersangatan untuk mengikuti baginda dalam setiap urusan hidupnya. Di antara mereka ialah Ibnu Umar r.a. Imam Mujahid menceritakan; “Kami mengikuti Ibnu ‘Umar r.a. dalam satu perjalanan. Lalu apabila ia sampai di satu tempat, ia melencung darinya (yakni mengambil jalan ke arah kanan atau ke kiri). Lalu kami bertanya kepadanya; “Kenapa kamu melakukan demikian?”. Ia menjawab; “Aku telah melihat Rasulullah melakukan sedemikian, maka aku pun turut melakukannya”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Bazzar dengan sanad yang baik). Zaid bin Aslam menceritakan; Aku telah melihat Ibnu Umar r.a. menunaikan sembahyang dalam keadaan terbuka kancing-kancing bajunya. Lalu aku bertanya beliau tentang perbuatannya itu. Maka ia menjawab; “Aku telah melihat Rasulullah telah melakukannya”. (Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Sohehnya dan Imam al-Baihaqi dalam Sunannya). Dalam riwayat yang lain; Ibnu Umar r.a. apabila ia melintasi sebuah pokok antara Mekah dan Madinah, ia akan berhenti dan berehat di bawahnya. Apabila ditanya kenapa? Ia menjawab; “Kerana dia melihat Rasulullah telah melakukannya”. (Riwayat Imam Ibnu al-Bazzar dengan sanad yang dapat diterima). 
  • Untuk riwayat lain berkaitan perkara yang dilakukan Rasul S.A.W dan menjadi ikutan para sahabat, sila rujuk pada kitab Syammail Muhammadiyah (cetakan Soffa atau PTS) 
  • Menjawab persoalan bidaah yang dibangkitkan terutamanya berkaitan marhaban dan sambutan maulidur rasul. Ustaz Don pertamanya menerangkan mengenai maksud bidaah, yakni perbuatan yang tidak dibuat atau disyorkan oleh nabi di zamannya (untuk penjelasan lanjut, sila rujuk kitab Qawaid Al-Ahkam karangan Al-Imam Izzuddin Abdul Aziz bin Abdissalam dan kitab Tahzib Al-Asma' wa Al-Lughat karangan Imam Nawawi atau sini). Namun mengatakan seseorang itu bidaah adalah ditegah kerana bagaikan mengatakan bahawa orang itu ahli neraka kerana melakukan perkara yang tidak dilakukan Rasul S.A.W. dan menegaskan bahawa bukan semua bidaah adalah salah. Selagi mana ia berkaitan menegakkan syiar ISLAM maka dibenarkan. Untuk ini, Ustaz Don menyenaraikan 4 Dalil. Dalil pertama - Ketika solat, seorang sahabat membaca ayat tambahan selepas rukuk selepas bacaan 'Rabbana Lakalhamd'. Selesai solat, Rasul S.A.W bertanya dengan nada tegas kerana bacaan yang diucapkan oleh sahabat itu tidak pernah diajarnya. Sehingga 3 kali bertanya, seorang pun sahabat tidak menjawap sehinggalah Rasul S.A.W. berkata Baginda tidak pernah melihat akan satu ayat yang dibawa oleh 30000 malaikat ke langit melainkan ayat tersebut (dalam riwayat yang lain 30000 malaikat berebut menulis pahalanya) - Riwayat Al-Bukhari, An-Nasa'i, Abu Daud, Ahmad. Dalil kedua ialah seorang sahabat membaca surah Al-Ikhlas setiap kali selepas membaca surah (selepas al-fatihah). Sahabat lain yang merasa ragu mengadu pada Rasul S.A.W. Baginda memanggil sahabat tersebut dan meminta penjelasan. Dan selepas mendapat penjelasan,Baginda mengatakan bahawa ia adalah perkara yang baik - Riwayat Imam Ahmad. Dalil ketiga dan paling hebat iaitu Al-Quran - Pada surah Al-Hajj ayat 32 yang bermaksud "Demikianlah (ajaran Allah), sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati (orang yang beriman)". Dalil keempat ialah dalil aqli iaitu ketika Rasul S.A.W dilahirkan, orang yang paling gembira sehingga meraikannya ialah datuk dan bapa saudara Nabi yang ketika itu tidak ISLAM. Maka, jika mereka itu yang bukan ISLAM meraikan kelahiran Nabi, maka apatah lagi kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. 

Itu sahaja yang sempat penulis salinkan. Moga bermanfaat pada kita semua dan moga kita dipermudahkan Allah S.W.T dalam menegakkan syiar ISLAM dan menghidupkan sunnah Rasul S.A.W.

Sumber Rujukan Ustaz Don (selain Al-Quran dan Hadith)
  1. Syamil Muhammadiah, cetakan PTS (BM) / Telaga Biru (Indonesia) / Yayasan As-Sofa (Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al maliki) 
  2. Insan Kamil (Sri Petaling)
  3. Insan Tauladan Sepanjang Zaman (Darul Nukman)
  4. Syamail Tirmidzi Syarah Syamail Muhammadiah
  5. Maulana Mohd Zakaria Al-Kendahlan (Sri Petaling)

Beberapa keping gambar yang sempat diambil :) (klik gambar untuk paparan lebih baik)












Jangan lupa sambutan Maulidur Rasul Peringkat Surau Nur As-Sobirin pada hari ISNIN 6 FEBRUARI 2012 (bermula dengan perarakan maulud nabi dari padang BTP3, kemudian ceramah agama, dan jamuan ala kampung untuk eratkan silaturrahim)

0 comments:

Post a Comment

Google

Hubungi Kami

Ada berita menarik? Ada Pemberitahuan? Ada cerita? Apa jua, silalah email pada IMPAK3 atau layari Komuniti IMPAK3 @ Facebook atau daftar untuk menjadi ahli IMPAK3

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP