Alhamdulillah, pada hari Isnin, 6hb Februari, 2012, bersamaan 13 RabiulAwal 1433H (Nabi S.A.W dilahirkan pada 12 RabiulAwal Tahun Gajah), satu perarakan bagi menyambut dan mengingati junjungan besar umat ISLAM, iaitu Nabi Muhammad S.A.W telah diadakan di Blok 3 & 2, Bandar Tasik Puteri. Sambutan yang disusun-atur oleh Surau Nur As-Sobirin telah berlangsung dengan baik tanpa masalah besar (dengan izin Allah S.W.T)
Disini, penulis ingin berkongsi beberapa perkara yang sempat penulis catit disepanjang perjalanan sambutan tersebut termasuk dari sesi ceramah. Pada hari tersebut, Alhamdulillah, hadirin telah disaji dengan 3 ceramah dan diselang-seli dengan selawat keatas Nabi S.A.W.
Tazkirah 1 - Ustaz Fathur Rahman
- Memaklumkan akan kelewatan penceramah jemputan (Ustaz Ghazali Omar) yang disebabkan oleh kesilapan komunikasi. Input dari kejadian ini yang dapat penulis simpulkan ialah kita hanya manusia biasa hatta yang selalu pergi ke surau juga manusia biasa yang tidak lari dari kesilapan. Oleh itu, janganlah kita merasa riak dengan amalan kita kerana amalan yang dilakukan dengan disertakan dengan perasaan riak dan angkuh hanya menyebabkan ia ditolak Allah S.W.T
"Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang percaya dan membuat kerja-kerja kebaikan ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai .... Dan mereka diberi petunjuk pada ucapan yang baik, dan mereka diberi petunjuk pada jalan Yang Terpuji." (Al-Hajj: 23-24)
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu?” (Surah an-Nur : 21)
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
(Ali Imraan: 133-134)
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala amalan sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu, mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun dari apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir". (Al-Baqarah: 24)
- Memperingatkan betapa kita semua adalah dari keturunan Nabi, iaitu Nabi Adam A.S. Diluar kelaziman, Ustaz Fathur Rahman memperihalkan mengenai kisah Nabi Adam A.S. daripada saat baginda dijadikan Allah S.W.T.
- Berkongsi pendapat mengenai Takliq Talaq yang diucapkan pengantin lelaki selepas akad nikah waktu ini ketika menyentuh kisah akan Nabi Adam A.S. yang dipinta Allah membayar mahar sebelum diizinkan Allah untuk baginda menyentuh Hawa. Mahar tersebut ialah selawat dan salam keatas Nabi Muhammad S.A.W. Pada pandangan berdasarkan pengetahuannya, Ustaz mengatakan bahawa ucapan takliq tidak ada dalam ISLAM. Pada pandangan peribadi penulis, ada dua perkara disini, iaitu takliq walaupun tiada dalam ISLAM, ia merupakan satu langkah untuk memperingatkan para suami akan tanggungjawabnya apabila bergelar suami dan juga memberi-tahu si isteri akan haknya didalam rumah-tangga. Perkara kedua ialah mengenai ucapan selawat dan salam ke atas Nabi S.A.W yang sering kita lupakan mahupun berdiam diri ketika nama Baginda S.A.W disebut.
- Ustaz juga menyentuh akan tarikh 12 RabiulAwal Tahun Gajah (Surah Al-Fiil), iaitu tarikh Rasul S.A.W dilahirkan.
Tazkirah 2 - Ustaz Junaid
- Mengajak hadirin menzahirkan rasa syukur pada Allah S.W.T kerana diberi peluang untuk bersama-sama meraikan hari keputeraan Rasul S.A.W dan mengajak agar terus menerus mengingati dan mengamalkan sunnah Baginda S.A.W
“Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku ‘Azzawajalla maka dia (Jibril) berkata:
Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadamu dari umatmu, ALLAH s.w.t mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh dosa dan ALLAH mengangkat baginya sepuluh darjat dan ALLAH menolak atasnya yang seumpamanya.” - Hadith Riwayat Ahmad
- Menyentuh mengenai kekuatan orang mukmin iaitu yang mempunyai nilai-nilai yang kuat dan Al-Amin (salah satu sifat Rasul S.A.W selari dengan firman Allah dalam surah Al-Qasas, ayat 26 yang bermaksud
"Sesungguhnya orang yang layak memikul amanah (sebagai khalifah) ialah yang mempunyai nilai kekuatan (al-quwwah) dan amanah (al-amin)" (Al-Qasas: 26)
Ceramah - Buktikan Kecintaan Kepada Rasulullah S.A.W
Penceramah - Ustaz Ghazali Omar (SMKA Kuala Selangor)
- Perkara pertama yang disentuh ialah akan kehebatan hidayah Allah S.W.T. Dua senario yang dikaitkan akan hebatnya hidayah Allah S.W.T iaitu kisah Parameswara ketika itu yang beragama lain dan berbahasa kuno jawa (atau sanskrit) telah menerima ISLAM hasil dari tarbiah seorang Syeikh dari Yaman yang menggunakan bahasa berbeza ketika berbicara. Senario kedua ialah mengenai kisah pengislaman penduduk Kuala Berang (berdasarkan batu bersurat di Kuala Berang) dimana penduduknya berloghat pekat terengganu dan sukar difahami tetapi ditarbiah dan memeluk ISLAM hasil dari dakwah Syeikh Ibrahim yang jelas berbudaya dan berbahasa berbeza dari penduduk setempat. Begitu juga akan kisah Abu Lahab yang didakwah tidak kurang dari 70 kali secara 'direct' oleh Baginda, tetapi tidak terima ISLAM kerana tidak dilontarkan hidayah oleh Allah S.W.T. Oleh itu, ustaz mengingatkan kita betapa beruntungnya kita kerana walaupun tidak bertemu Rasul S.A.W, tetapi menerima ajaran Baginda S.A.W kerana hidayah yang Allah berikan. Dalam hal ini, penulis ingin sekali melontarkan pendapat mengenai sikap sesetengah pihak terutamanya yang merasakan diri cukup baik kerana kekerapa berada disurau sehingga timbulnya rasa angkuh dan bangga diri hingga ada yang sanggup melontarkan pendapat mengenai akan kaedah 'boikot' terhadap mereka yang tidak menjengah surau. Bagi penulis, yang melontarkan idea tersebut lupa akan beberapa ayat Al-Quran dibawah ini. Malah tidak ada didalam sunnah Rasul S.A.W akan idea tersebut. Satu persoalan harus dilontarkan kembali kepada diri sendiri ialah, sudahkah aku berdepan dengan jiran disekeliling aku dan mengajak mereka ke-surau dan cukupkan dengan sekadar menghantar flyer dan melalui FB atau SMS dan adakah aku sudah benar-benar melakukan dakwah dan sabar dalamnya?. Jika ya kesemuanya, maka sudahkah aku ini berdoa agar mereka diberi petunjuk oleh ALLAH atau aku berdoa untuk diriku dan keluargaku sahaja? Jika ya, maka teruskan usaha itu dengan penuh sabar dan tinggalkan anugerah hidayah itu pada Allah.
"Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk (tentang yang benar dan yang salah)." (Al-Lail: 12)
"Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Ia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik)." (Al-An'am: 87 - 88)
"Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan". (Hud 11:115)
"Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan". (Al-Nahl 16:127)
- Ustaz berkongsi cerita perihal dalam sambutan Maulidur Rasul, kita sepatutnya lebih hebat lagi kerana kalau tidak, kita akan malu pada orang kafir. Dalam hal ini, orang kafir yang dimaksudkan ialah Abu Lahab (sebahagian riwayat mengatakan Abdul Muttalib - didalam buku Biografi Muhammad Bin Abdullah keluaran PTS). Abu Lahab (atau nama sebenarnya ialah Abdul Uzzar) ialah orang pertama menyambut maulid Nabi S.A.W. Perkara pertama dilakukan ialah menyuruh hamba yang disayanginya (Suwaibah Aslamiah) untuk menjaga ibu Nabi S.A.W (Siti Aminah) hingga Baginda S.A.W dilahirkan. Perkara kedua ialah apabila dimaklumkan oleh hambanya itu akan kelahiran Rasul S.A.W beliau meminta hambanya menyusukan Rasul S.A.W sehingga kenyang andai ibu Baginda S.A.W tidak mampu dan memerdekannya jika melakukan perkara tersebut. Perkara kedua ialah membalut Baginda S.A.W dan membawanya tawaf sekeliling Mekah untuk menunjukkan rasa gembira pada penduduk Mekah. Dan yang terakhir ialah mengadakan kenduri sebanyak 70 ekor unta. Betapa hebatnya Abu Lahab dan betapa malunya kita apabila berdolak dalih dalam perkara ini sedangkan baginda ialah Rasul S.A.W.
- Dalam bercerita perihal tersebut, Ustaz mengaitkan akan kitab berzanji yang memperihalkan kesemua perkara tersebut tetapi hanya dibaca dan tidak difahami oleh orang melayu. Lantas mengingatkan para hadirin betapa alpanya kita dalam menghayati maksud Al-Quran dan hadith kerana hanya tahu membaca terutamanya Al-Fatihah yang mengandungi intisari Al-Quran dan dibaca setiap hari tetapi tidak difahami maksudnya.
- Ustaz juga membangkitkan akan hal susu ibu. Betapa orang arab mementingkan akan susu ibu dan mencari ibu susuan. Berlainan dengan masyarakat ISLAM kini yang lebih rela menjadikan lembu sebagai ibu susuan lantas membesarkan zuriat yang ber'DNA' lembu. Itulah sebab akan anak kita kini banyak ber'AH' atau ber'hmm' laksana lembu (sekadar jenaka ustaz tetapi ada kebenarannya)
- Menceritakan kesilapan kita dalam pemahaman iaitu menyambut hari kelahiran nabi (seperti Abu Lahab). Sepatutnya kita menyambut orang yang dilahirkan iaitu Rasul S.A.W (seperti Abu Bakar As-Siddiq). Sebab itu negeri kedah menukar kepada Maulud (beerti orang yang dilahirkan iaitu Rasul S.A.W) dan bukan Maulid (Hari Lahir). Maka, ustaz Ghazali mengesyorkan agar sambutan maulud dipraktikkan sebagai asas kepada proses mengingati Rasul S.A.W dan mengamalkan sunnah Baginda S.A.W secara berterusan.
Pada suatu hari, terjadi percakapan antara Nabi s.a.w. dengan Abu Bakar Sidiq di samping didengari oleh para sahabat. “Wahai AbuBakar, begitu rinduku hendak bertemu dengan saudara-saudaraku (ikhwan),” berkata Nabi s.a.w. “Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?” jawab Abu Bakar. “Bukan!” jawab Nabi.“Kamu ini adalah sahabat-sahabaku,” selanjutnya Nabi berkata, dan menegaskannya.
Keterangan Nabi itu sungguh menghairankan Abu Bakar dan para sahabat. Mereka semua tertanya-tanya, siapakah yang dimaksudkan oleh Nabi itu. Nabi segera memahami suasana yang berlaku dan baginda segera menghuraikannya.
“Ikhwan (saudara-saudara) ku”. “Mereka belum pernah melihatku, tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku. Aku dicintai melebihi anak dan orang-orang tua mereka”.
“Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan engkau?”. “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku,” jelas Nabi.“Wahai Abu Bakar, adakah engkau tidak akan merindui ikhwanku itu kerana mereka juga mencintai engkau kerana engkau sahabatku?”. Demikian Nabi menjelaskan perkara tersebut.
Begitulah Nabi menerangkan bahawa ikhwan itu adalah umat sesudah wafatnya baginda. Mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan baginda. Mereka membaca al-Quran dan Hadith dan kerana itu mencintai Nabinya serta para sahabat Nabi yang berjuang menegakkan Islam.
Suatu ketika yang lain, baginda berbicara dengan para sahabat tentang kemurnian iman ikhwan.
“Siapakah makhluk Allah yang paling ajaib imannya?” tanya Nabi kepada sahabat. “Malaikat,” jawab mereka.“Bagaimana malaikat tidak beriman dengan Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah?!” jawab baginda.
“Para Nabi,” jawab mereka lagi. “Bagaimana para Nabi tidak akan beriman sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?!” baginda membantah jawapan mereka.
“Kami,” jawab sahabat lagi. "Bagaimana kamu tidak akan beriman sedangkan aku berada di tengah-tengah kamu?” jawab Nabi.
Para sahabat berasa sangat hairan. Baginda sedia maklum bahawa mereka sangat ingin mengetahui siapakah makhluk yang paling ajaib iman ini.
“Makhluk yang paling ajaib imannya ialah mereka yang hidup sesudah aku. Mereka membaca al-Quran dan beriman dengan semua isinya”.
Baginda pernah menegaskan lagi tentang kemurnian iman ikhwan ini dalam sabdanya;
“Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan berbahagialah 7 kali orang-orang yang beriman denganku, tetapi tidak pernah berjumpa denganku”. Demikianlah Nabi s.a.w. mencintai ikhwan itu.
- Riwayat Al-Baihaqi, Al-Bukhari, dan Muslim
- Ustaz Ghazali berkongsi 2 sebab mengapa perlu cinta Rasul S.A.W. Yang pertama ialah kerana Baginda S.A.W telah membawa kita keluar dari jalan kesesatan dengan peta menuju ke Syurga. Dalam hal ini, beliau berkongsi cerita mengenai seseorang yang tersesat didalam hutan belantara yang gelap dan dipenuhi dengan binatang merbahaya tanpa sebarang bantuan. Kemudian datanglah seorang lelaki yang pakar didalam selok belok hutan dan membawa lelaki sesat tadi keluar dengan selamat. Pastinya lelaki sesat itu akan berterima kasih tak terhingga pada lelaki yang menyelamatkannya. Begitulah juga kita ini yang sepatutnya berterima kasih dengan cinta pada Rasul S.A.W. Sebab kedua ialah kerana Baginda S.A.W ialah tiket untuk kita ke syurga.
“Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, maka ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.” (Hadith Riwayat Thabarani)
“ Barangsiapa yang berselawat kepadaku dari umatku, maka dicatat baginya sepuluh kebaikan dan dihapuskan darinya sepuluh dosa.” - Hadith Riwayat Ibnu Hibban
- Dalam kitab Ibnu Farhun Al-Qurthubi dinyatakan bahawa membaca selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w mengandungi 10 macam faedah dan mendatangkan kemuliaan iaitu:
- Memperoleh selawat dari Tuhan Penguasa Alam.
- Memperoleh syafaat dari Nabi Muhammad s.a.w.
- Memdapat pimpinan dari malaikat yang baik baik.
- Menghapuskan dosa.
- Mendapat pertolongan dan tercapai keperluan hidup.
- Mempunyai perbezaan dengan orang munafik dan kafir.
- Memperoleh nur zahir dan batin.
- Mendapat keselamatan dari azab neraka.
- Membolehkan memasuki syurga.
- Memperoleh ucapan selamat dari ALLAH s.w.t.
- Menurut para ulama yang berdasarkan keterangan-keterangan hadith, bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w akan memperoleh berbagai-bagai faedah yang amat besar diantaranya:
- Memperoleh limpah rahmat dari ALLAH.
- Ditulis sepuluh kebajikan.
- Dihapuskan sepuluh kejahatan.
- Diangkat sepuluh darjat.
- Memperoleh kesempurnaan iman.
- Menjauhi dari kerugian dan penyesalan.
- Tergolong sebagai orang-orang yang soleh.
- Mendekatkan diri kepada ALLAH s.w.t.
- Memperoleh syafaat Rasulullah s.a.w.
- Menghilangkan kesusahan dan melapangkan rezeki.
- Memperoleh hubungan rapat dengan Rasulullah s.a.w.
- Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa.
- Menghapuskan dosa dan menutupkan aib.
- Terselamat dari kebingungan di hari kiamat.
- Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu bersedekah.
- Terhindar dari kefakiran.
- Dipandang sebagai orang yang mencintai Rasulullah s.a.w.
- Meperoleh keberkatan dalam hidup.
- Terhindar dari orang-orang yang bakhil.
- Menjadikan sebab doa diterima oleh ALLAH s.w.t.
- Memudahkan jalan bagi memasuki syurga.
- Menjadi zakat dan pembersih diri.
- Memperoleh selawat dari ALLAH dan para malaikat.
- Memperoleh pujian seluruh makhluk di bumi dan langit.
- Ustaz juga menceritakan akan rindunya Rasul S.A.W kepada umatnya dan kebimbangan Baginda S.A.W akan umatnya selepas ketiadaannya dan memberikan sepotong hadith berkaitan.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Semua umat ku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Baginda ditanya: “Siapakah yang enggan?” Baginda bersabda: “Sesiapa yang taat kepada ku ia masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku ia masuk neraka.”
- Ustaz juga mengajak para hadirin tanamkan minat membaca dikalangan keluarga dengan turut serta tika saat anak membaca dan berkongsi satu sunnah Rasul S.A.W berkaitan memeluk isteri dan anak-anak sebelum keluar rumah untuk ke tempat kerja.
- Akhir sekali, Ustaz Ghazali menggariskan 6S untuk buktikan cinta pada Nabi Muhammad S.A.W.
- Selawat Selalu - Selawat paling afdal ialah selawat Ibrahimiyah (selawat yang dibaca setiap kali solat - tahiyat akhir). Majalah Anis menggariskan akan 42 kelebihan berselawat
- Sunnah Nabi S.A.W dipelajari dan diamalkan
- Syariat Nabi S.A.W diperjuang dan ditegakkan
- Susuri Sirah Rasul S.A.W dan pelajari darinya
- Sayangilah Ulama' kerana mereka pewaris Nabi S.A.W
- Sifatkan diri seperti sifat Rasul S.A.W yakni berakhlak akan Al-Quran
Read more...